Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sepasang suami isteri ditahan selepas menjadikan kediaman rumah teres dua tingkat di kawasan Jelapang, di sini, sebagai makmal memproses dadah jenis heroin susulan penemuan lebih 25 kilogram (kg) bahan terlarang itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasangan masing-masing berusia 30 dan 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 malam kelmarin oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, pemeriksaan menemukan dadah disyaki heroin dianggarkan seberat 21,676 gram (g) selain dadah sama dalam bentuk cecair seberat 3,640g dengan nilai rampasan berjumlah RM210,122.

Mohd Yusri berkata, turut dirampas adalah pelbagai bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dan membungkus dadah berkenaan.

"Sindiket dipercayai bergiat aktif sejak Februari lalu. Pasangan suami isteri itu tiada pekerjaan tetap dan menjadikan rumah mereka sendiri sebagai makmal memproses dadah itu," katanya dalam sidang media khas sempena kejayaan menumpaskan makmal itu di perkarangan IPK Perak, di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine namun semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

MOHD melihat bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah. FOTO L Manimaran
MOHD melihat bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah. FOTO L Manimaran

Menurutnya, susulan serbuan itu, pihaknya menyita sebuah kenderaan dan seutas rantai mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan anggaran nilai harta yang disita berjumlah RM36,000.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah serta harta berjumlah RM246,122. Jumlah dadah yang dirampas yang dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan sekitar Perak mampu menampung permintaan seramai 47,000 penagih," katanya.

Katanya, pasangan suami isteri itu direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, polis masih berusaha mengesan jika terdapat saki-baki anggota sindiket itu yang masih bebas.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Mohd Yusri berkata, dua lelaki ditahan sekitar Sungai Rokam, di sini, selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti pengedaran lebih 7.4kg dadah jenis ganja membabitkan anggaran nilai sitaan RM724,729.

Katanya, suspek pertama berusia 39 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Rokam jam 12.15 tengah malam Isnin lalu dengan pemeriksaan menjumpai sejumlah peket dan ketulan mampat dipercayai ganja seberat 7,433g, anak benih disyaki pokok ganja, dan cecair ganja berkapasiti 90 mililiter (ml).

Menurutnya, susulan tangkapan pertama, suspek kedua berusia 52 tahun ditahan jam 1.15 pagi kelmarin di sebuah rumah di Taman Sri Rokam dengan pemeriksaan menjumpai ketulan mampat dipercayai ganja seberat 40g.

"Tindakan turut diambil dengan menyita tiga kenderaan, lapan utas jam tangan mewah, seutas rantai, dua bentuk gelang, serta wang tunai berjumlah RM150,000 dengan anggaran keseluruhan nilai harta yang disita RM699,182.

"Nilai dadah yang dirampas hasil penahanan dua lelaki itu berjumlah RM25,948. Bagaimanapun anggaran nilai keseluruhan rampasan dadah bersama harta yang disita adalah RM724,729," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai mula aktif mengedar dadah sejak 2021 dan mereka ditahan reman tujuh hari bermula kelmarin hingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 11:48 AM