Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Seorang imam akur apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya malam tadi kerana tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan ketika operasi khas bersepadu sempena Aidiladha di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur, di sini, malam tadi.

Dia yang ditemani isteri berkata, mereka dalam perjalanan pulang dari sebuah pasar raya di sini, bagi membeli peralatan mencetak teks khutbah untuk dibacakan pada Aidiladha nanti.

"Memang sudah dua tahun cukai jalan kereta ini mati dan biasanya saya pandu siang hari saja dalam keadaan berjaga-jaga, tapi tak sangka malam ini (tadi) nasib tidak menyebelahi kami.

"Saya pun sedang berkira-kira untuk mengambil lesen kenderaan tapi belum sempat kerana kekangan masa tapi apabila terjadi begini (disaman), InsyaAllah akan saya usahakan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Dalam operasi bersepadu yang turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu, sebanyak 102 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dengan 24 kenderaan disita.

Operasi yang bermula jam 8 hingga 11 malam itu turut dihadiri Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dengan diiringi Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Seorang lagi yang ditahan dalam operasi itu ialah lelaki Rohingya berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC yang kononnya ingin membeli ubat untuk anaknya yang sakit.

Lelaki itu berkata, dia baru saja membeli motosikal itu daripada seorang rakan pada harga RM2,200 pada dua minggu lalu dan tidak sangka ditahan pihak berkuasa.

"Kalau tahu ada operasi malam ini memang saya tidak akan keluar tapi anak sakit di rumah jadi saya keluar beli ubat.

"Memang sedih sebab motosikal ini baru saja dibeli menggunakan duit hasil kerja sebagai tukang rumah, tapi apa boleh buat, terima sajalah," katanya yang menetap di Jelawat, Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 10:45 AM
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah membuat pemeriksaan terhadap pemandu jalan raya berusia 43 tahun akibat tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh pada sekatan jalan raya (SJR) ketika operasi khas bersepadu sempena Hari Raya Aidiladha di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan (tengah) bersama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah membuat pemeriksaan terhadap pemandu jalan raya berusia 43 tahun akibat tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh pada sekatan jalan raya (SJR) ketika operasi khas bersepadu sempena Hari Raya Aidiladha di hadapan Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Wilayah Timur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR