Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Pasangan pengantin baharu ditahan bersama heroin seberat 9.268 kilogram (kg) di kawasan parkir sebuah masjid di Chikus, Langkap, dekat sini, tengah hari tadi.

Difahamkan, pasangan berusia 23 dan 24 tahun itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan semalam dan ditahan hari ini ketika dipercayai cuba mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, penahanan pasangan berkenaan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak selepas menerima maklumat awam.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan 12.30 tengah hari ketika mereka dipercayai sedang menunggu pelanggan membeli dadah.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas sebuah beg pakaian di dalam kereta pasangan berkenaan yang mengandungi 20 bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 9.268 kg bernilai RM77,000.

"Jumlah rampasan boleh menampung keperluan 10,000 penagih. Polis percaya dadah berkenaan bagi edaran di luar daerah Hilir Perak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

"Suspek lelaki mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek wanita mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

"Mereka akan direman mulai esok bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 8:07 PM
AHMAD (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah didalangi sepasang pengantin bahru. FOTO Ihsan Polis
AHMAD (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah didalangi sepasang pengantin bahru. FOTO Ihsan Polis