Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Dua beradik antara enam lelaki yang ditahan di sebuah gudang yang dijadikan makmal memproses dadah di kawasan Jelapang, di sini, kelmarin.

Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 3 pagi itu turut merampas dadah dianggarkan bernilai RM672,649.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata enam suspek berusia antara 32 hingga 57 itu kini direman tujuh hari bermula kelmarin hingga 11 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dua beradik yang ditahan berusia 53 dan 57 tahun yang masing-masing bekerja sebagai pemotong rumput dan pengawal keselamatan.

Sementara, dua suspek bekerja sebagai penjaga kolam ikan dan reban ayam, manakala dua lagi penganggur.

"Dalam serbuan itu, kita menemui cecair disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 47.58 liter (l), selain dadah jenis sama (155 gram (g)) dan heroin (52.3 g).

"Turut dirampas bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan bagi memproses dadah," katanya dalam sidang media di perkarangan IPK Perak, di sini, hari ini.

YUSRI Hassan (tengah) berkaitan kejayaan menumpaskan Makmal haran.di kawasa Jelapang Ipoh di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO L Manimaran
YUSRI Hassan (tengah) berkaitan kejayaan menumpaskan Makmal haran.di kawasa Jelapang Ipoh di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak. FOTO L Manimaran

Katanya, siasatan mendapati sindiket dipercayai mula aktif dalam aktiviti pemprosesan dadah sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan bahan kimia dari utara tanah air.

"Dadah yang dirampas disyaki bagi edaran pasaran tempatan dan mampu menampung keperluan seramai 180,000 penagih.

"Ujian saringan kencing mendapati keenam-enam suspek positif dadah methamphetamine dan morfin.

"Semakan juga mendapati mereka turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya.

Mohd Yusri berkata, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah lori serta empat motosikal dengan anggaran nilai keseluruhan sitaan RM76,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 10:54 AM