KESAN kemusnahan pada kereta yang digunakan petugas WCK selepas ia terkena serangan Israel. FOTO AFP
KESAN kemusnahan pada kereta yang digunakan petugas WCK selepas ia terkena serangan Israel. FOTO AFP
AFP

Barcelona: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol, Spanish Open Arms yang bekerjasama dengan World Central Kitchen dalam menganjurkan flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza, bertindak menggantung operasinya, selepas tujuh pekerja bantuan terbunuh dalam serangan udara Israel di wilayah itu pada Isnin lalu.

Kumpulan Open Arms sebelum ini adalah NGO pertama berjaya tiba di Gaza 15 Mac lalu, dalam misi bantuan dengan kapal melalui koridor maritim khas dari pelabuhan Larnaca, Cyprus.

Kapal Open Arms sudah kembali ke pelabuhan Larnaca pada Rabu, dan NGO itu segera mengutuk kematian pekerja bantuan WCK sebagai "tindakan keganasan yang tidak dapat difahami".

Pekerja sedang memindahkan makanan dan bekalan yang dihantar dalam muatan kapal kedua dari Cyprus, apabila konvoi mereka diserang pada Isnin.

"Dengan ketibaan bot Open Arms pada Rabu di pelabuhan Larnaca, Cyprus, misi di koridor kemanusiaan ke Semenanjung Gaza dengan World Central Kitchen digantung berikutan serangan dahsyat yang dialami konvoi itu," kata Open Arms dalam satu kenyataan.

NGO itu, yang mengatakan 200 tan makanan dan bekalan dihantar dalam penghantaran pertama pada Mac, menyatakan kesedihan atas kematian akibat serangan Israel itu.

"Kami menuntut jawapan dan akauntabiliti untuk serangan yang tidak boleh diterima ini," kata pengarah Open Arms, Oscar Camps dalam satu kenyataan.

World Central Kitchen, yang diasaskan oleh chef selebriti Sepanyol-Amerika Jose Andres, juga sudah menggantung kerja-kerjanya di Gaza kerana serangan itu.

Ini meningkatkan tekanan ke atas Israel yang dikutuk berikutan tindakan kejam terhadap penduduk awam Gaza.

Israel menyatakan kekesalan atas serangan itu dan menjanjikan siasatan yang telus.

Tetapi kumpulan bantuan antarabangsa berkata, kini hampir mustahil untuk bekerja di Gaza.

Kempen balas dendam Israel untuk memusnahkan Hamas membunuh sekurang-kurangnya 33,037 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di wilayah Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 11:23 AM