Naim Daniel
Naim Daniel
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih, awal pagi, hari ini.

Pengguna akaun Instagram @syxmzxk itu menulis 'ini kalau jumpa mak pak hang (kau), aku sembelih hidup-hidup.'

Naim, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, dia kemudiannya dipanggil pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan untuk diambil keterangan.

"Komen individu itu sangat melampau. Saya tidak boleh berdiam diri apatah lagi komen itu mengancam keselamatan saya dan keluarga.

"Saya dimaklumkan oleh polis yang mereka sudah dapat semua maklumat individu berkenaan. Jadi, saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, komen yang dilemparkan terhadapnya sudah tersasar daripada konteks asal ciapan di X mengenai isu Blockout2024 yang disuarakan.

"Komen mereka sangat merepek dan tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang saya cakap di X.

"Hanya kerana saya berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, sehingga perlu menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan, saya berpesan supaya tidak bersifat "Ghuluw" atau melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan.

"Pada akhirnya saya dikatakan 'terpaling'. Malah siap ada mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya," katanya.

Pada masa sama, Naim turut berkongsi beberapa komen warganet yang memberikan reaksi negatif terhadap dirinya.

"Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?

"Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, menerapkan nilai Islam dan empati sesama manusia, hubungan sesama alam juga manusia. Saya dididik penuh hikmah dan sopan oleh kedua orang tua saya yang juga beragama Islam.

"Saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara sedarah seagama di sana. Malah saya juga tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah dari jenama yang menyokong rejim laknatullah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 1:06 PM