Ekhwan Haque Fazlul Haque


PELAJAR lelaki ditahan polis selepas disyaki memuat naik komen ugutan bunuh terhadap Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, hari ini.

Suspek berusia 14 tahun itu dibawa bapanya jam 2.30 petang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching selepas menyedari anaknya dikesan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, bapa suspek membawa anaknya ke IPD Kuching bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan pihak berkuasa.

Menurutnya, suspek diburu selepas polis menerima laporan mengenai komen berunsur ugutan yang ditujukan kepada Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini.

"Suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching manakala sebuah telefon bimbit miliknya yang digunakan untuk memuat naik komen berkenaan dirampas.

"Polis bagaimanapun sudah membebaskan suspek selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dev berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata, polis menerima tujuh laporan polis daripada individu berhubung ugutan yang dilemparkan kepada Ketua Menteri Sarawak sehingga semalam.

"Orang ramai diminta lebih berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak memuat naik sebarang komen berunsur jenayah dan boleh menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 6:33 PM