ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim membantu memindahkan mangsa berikutan banjir kilat (gambar fail). FOTO Ihsan APM
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim membantu memindahkan mangsa berikutan banjir kilat (gambar fail). FOTO Ihsan APM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir kilat di Perak meningkat secara mendadak manakala situasi di Kedah semakin baik dengan keseluruhan mangsa yang masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu sebanyak 615 orang setakat petang ini.

Di Perak, jumlah mangsa meningkat kepada 537 orang daripada 152 keluarga berbanding 152 orang melibatkan 54 keluarga tengah hari tadi, dengan empat lagi PPS dibuka menjadikan 10 PPS beroperasi setakat ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam kenyataan memaklumkan setakat 6 petang tadi dua lagi PPS dibuka di Taiping iaitu Dewan Orang Ramai Batu Hampar, Trong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor selain empat yang dibuka lebih awal iaitu di Dewan Orang Ramai Sungai Baru Trong, Dewan Orang Ramai Jebong Kiri, Masjid Al-Wusta Batu 8 dan SK Temelok.

Keenam-enam PPS itu menempatkan 382 orang daripada 109 keluarga.

Dalam pada itu, dua lagi PPS dibuka di Kuala Kangsar iaitu di SK Temong dan Dewan Orang Ramai Kampung Talang Masjid selain SK Periang yang dibuka lebih awal, dengan ketiga-tiga PPS itu menempatkan 110 orang daripada 32 keluarga.

Di Hilir Perak pula kekal dengan satu PPS dibuka iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 45 orang daripada 11 keluarga.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 78 orang daripada 17 keluarga berbanding 98 orang daripada 26 keluarga tengah hari tadi selepas sebuah PPS di Bandar Baharu iaitu Masjid Sungai Batu yang menempatkan 20 penduduk daripada lapan keluarga ditutup 7 malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Ihsaniah, Jangkang masih beroperasi bagi menempatkan mangsa banjir di daerah itu.

"Hingga 6 petang tadi jumlah penduduk yang ditempatkan di PPS itu kekal 78 orang daripada 17 keluarga. PPS belum ditutup dan cuaca semasa masih hujan namun paras air sungai pada tahap normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 10:52 PM