NORASIAH (kanan) bersama anak bongsunya di pusara Nurul Aqisyah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah. FOTO Omar Ahmad
NORASIAH (kanan) bersama anak bongsunya di pusara Nurul Aqisyah yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Iskandar Puteri: "Saya tengok orang sudah ramai di Jeti. Saya memang terperanjat. Betul ke anak saya yang jatuh?

"Saya macam tak percaya, tapi dia orang kata betul, saya tanya anak saya yang bongsu, dia kata betul kakak (panggilan untuk anak kedua saya) jatuh," kata Norasiah Ramdan, 37.

Norasiah adalah ibu kepada kanak-kanak perempuan Nurul Aqisyah Abdullah, 10, yang lemas selepas terjatuh ke Sungai Gelang Patah di Jeti Sungai Kampung Dapur Arang, di sini, semalam.

Dia berkata, kejadian yang menimpa Nurul Aqisyah dimaklumkan kakaknya memberitahu anaknya itu jatuh ke sungai ketika bermain di jeti bersama kanak-kanak lain.

"Sebelum ini, dia (anak) memang tak pernah pun main di jeti. Tak tahu macam mana dia boleh pula bermain-main di jeti pada hari kejadian.

"Masa itu hari hujan dan rasanya anak saya tergelincir sebelum jatuh ke sungai," katanya ketika ditemui, hari ini.

Jenazah Nurul Aqisyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Gelang Patah, berhampiran Taman Nusantara,

Bercerita lanjut, Norasiah berkata, anaknya itu tidak ada menunjukkan apa-apa perubahan atau kelakuan pelik dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.

"Cuma yang saya perasan, dia banyak tidur, bangun lewat. Cuma semalam, sebelum pergi kerja, saya sempat masak mi segera kari untuk dia. Dia tak nak kuah, nak kering, tapi nak telur separuh masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:44 PM