Peminat Jerman dan Scotland bergambar dengan replika trofi Euro sebelum perlawanan. FOTO REUTERS
Peminat Jerman dan Scotland bergambar dengan replika trofi Euro sebelum perlawanan. FOTO REUTERS
AFP

Berlin: Penyokong England dan Serbia yang menghadiri perlawanan pembukaan pasukan mereka di Euro 2024 dekat Gelsenkirchen hanya akan dapat membeli bir dengan kandungan alkohol yang rendah, kata pihak polis.

Bir 'ringan' dengan kandungan alkohol 2.5 peratus akan dijual di stadium dan peminat dihadkan membeli hanya dua minuman pada satu-satu masa, kata jurucakap polis di bandar Jerman itu kepada AFP.

Keputusan yang diambil untuk perlawanan Isnin ini adalah atas 'sebab keselamatan', kata jurucakap itu.

Keputusan untuk menjual bir yang lebih rendah kandungannya berbanding kandungan alkohol biasa antara empat hingga lima peratus, dilakukan kerana 'orang British sudah biasa dengannya', kata jurucakap itu lagi.

Pihak berkuasa Jerman sudah bersiap sedia untuk menangani situasi genting di kejohanan itu.

Kerajaan British menyatakan lebih daripada 1,600 penyokong England dan Wales yang dikenakan hukuman larangan memasuki stadium kerana tingkah laku ganas sebelum ini tidak dibenarkan berkunjung ke Jerman semasa kejohanan itu.

Penyokong England mencetuskan kekecohan ketika bertemu Rusia sebelum perlawanan mereka di Marseille, Perancis, pada Euro 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:32 PM