TANGKAP layar video tular kebakaran di Genting Highlands. FOTO  tular
TANGKAP layar video tular kebakaran di Genting Highlands. FOTO tular
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Genting Malaysia Berhad mengesahkan berlaku kebakaran di pusat beli-belah SkyAvenue, Resorts World Genting di Genting Highlands, petang tadi.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, memaklumkan kebakaran dilaporkan bermula pada 4.30 petang tadi dan hanya membabitkan bangunan SkyAvenue.

"Pemindahan dilakukan serta-merta bagi memastikan orang awam terhindar dari bahaya.

"Pasukan bomba kami bertindak segera untuk memadamkan kebakaran. Kami terus memantau keadaan dan akan memberikan kemas kini semasa berkaitan kejadian itu," katanya.

Katanya, kebakaran hanya membabitkan pusat beli-belah berkenaan dan tidak menjejaskan kawasan lain di pusat peranginan berkenaan.

Terdahulu, kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah bangunan di pusat peranginan Genting Highlands, Pahang, hari ini.

Pihak bomba menerima laporan kejadian kebakaran sekitar jam 4.55 petang tadi.

Berikutan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu anggota dari BBP Bentong digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja memadam kebakaran.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan I Ismail Abdul Ghani yang dihubungi memaklumkan kebakaran tidak membabitkan mangsa.

Katanya, pasukan bomba yang berada di lokasi sudah berjaya mengawal api daripada terus merebak dan sedang meneruskan kerja memadam sisa kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 8:21 PM