PENYOKONG Portugal menunggu ketibaan pasukan kesayangan mereka di luar hotel. FOTO AFP
PENYOKONG Portugal menunggu ketibaan pasukan kesayangan mereka di luar hotel. FOTO AFP
AFP

Harsewinkel: Pemain tengah Portugal, Vitinha berkata, skuad bertaraf bintang itu mesti membuktikan mereka adalah pasukan 'hebat' di Euro 2024.

Juara 2016 itu akan menghadapi Republik Czech pada aksi pertama kedua-dua pasukan Rabu ini selepas layak ke kejohanan itu dengan rekod 100 peratus.

Namun, Portugal tewas dalam perlawanan persahabatan dengan Croatia minggu lalu sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada mereka mampu menghadapi kempen sebenar.

Diketuai oleh pemain berstatus bintang, Cristiano Ronaldo; pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes dan bintang terkemuka lain termasuk Joao Felix dan Bernardo Silva, harapan terhadap skuad kali ini cukup tinggi.

"Kami mempunyai pasukan hebat, dengan pemain hebat yang bermain bersama kelab hebat... tetapi pasukan hebat perlu membuktikan diri mereka di atas padang, bukan sekadar teori," kata Vitinha, yang beraksi untuk juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), pada sidang akhbar, hari ini.

"Itulah yang perlu kami lakukan di Kejohanan Eropah ini, untuk mengukuhkan pandangan bahawa kami adalah pasukan yang hebat.

"Kami mempunyai pemain yang hebat dan adalah penting untuk membuktikan keupayaan di atas padang," katanya lagi.

Skuad Portugal disambut oleh ribuan peminat semasa ketibaan mereka di Jerman, yang ingin melihat Ronaldo dan rakan sepasukannya.

"Ia adalah sambutan yang sangat luar biasa, di lapangan terbang dan di hotel," sambung Vitinha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:57 PM