PENDUDUK D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya, Ipoh hari ini. FOTO Bernama
PENDUDUK D'Aman Meru Raya melintasi jalan yang dinaiki air ketika tinjauan di Meru Raya, Ipoh hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perlis, Perak dan Kedah mencatatkan penurunan setakat 8 malam ini.

Di Perlis, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, jumlah mangsa menurun kepada 41 orang daripada 12 keluarga setakat malam ini berbanding 44 mangsa daripada 13 keluarga, pagi tadi.

Mohd Izaimi dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa itu ditempatkan di PPS Dewan Titi Tinggi Hilir, Padang Besar yang dibuka secara rasmi pada pukul 1 pagi tadi selain terdapat mangsa yang telah pulang ke rumah masing-masing pada 6.45 petang tadi.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir tiga daerah di negeri itu semakin berkurangan kepada 210 orang daripada 61 keluarga, berbanding 269 orang daripada 80 keluarga pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, di Hilir Perak, dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang menempatkan 107 orang daripada 31 keluarga manakala di PPS Dewan Serbaguna Chikus menempatkan seramai 19 orang daripada lima keluarga.

"Di Kerian pula, 23 orang daripada empat keluarga masih berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala jumlah mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 57 orang daripada 19 keluarga.

"Di daerah Kinta pula, empat mangsa daripada dua keluarga dari Taman Meru 2C ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Meru 2A manakala kesemua 19 mangsa daripada enam keluarga yang berlindung di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta telah pulang ke kediaman masing-masing," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, 24 mangsa daripada lapan keluarga membabitkan tujuh kampung di Hulu Perak yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik malam tadi telah ditutup sepenuhnya pada pukul 2 petang tadi.

Sementara itu di Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS menurun kepada 31 orang terdiri daripada tujuh keluarga, malam ini berbanding 43 mangsa daripada 11 keluarga pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi dalam satu kenyataan berkata, seramai 12 mangsa daripada empat keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Malau telah dibenarkan pulang, petang tadi.

"Semua mangsa yang lain masih berada di PPS sama setakat 8 malam ini. Kesemua mangsa adalah penduduk di tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Paya Tok Keong, Kampung Paya Tok Teh dan Kampung Biak di daerah Kubang Pasu.

"Hujan lebat berterusan melebihi tiga jam pada petang semalam menyebabkan kawasan tersebut dinaiki air dan pihak Angkatan Pertahanan Awam menerima laporan mengenai kejadian banjir itu pada pukul 5.30 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 10:59 PM