GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Alias Abd Rani


Muar: Ahli perniagaan mendakwa kerugian RM375,000 selepas terpedaya dengan tawaran darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri.

Wanita berusia 45 tahun itu mendakwa ditawarkan gelaran itu oleh seorang lelaki yang juga rakan kongsinya pada Jun 2022.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bagi mendapatkan darjah kebesaran itu dipercayai dari Pahang, mangsa diminta membuat bayaran awal.

Katanya, mangsa kemudian melakukan 35 transaksi pindahan dalam talian kepada lelaki berkenaan.

"Pada Ogos 2022, mangsa mendapat watikah penganugerahan gelaran itu tapi malangnya, semakan dibuat mendapati namanya tiada dalam senarai.

"Sehingga kini, mangsa mendakwa dia tidak menerima apa-apa anugerah seperti dijanjikan suspek," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Raiz Mukhliz berkata, mangsa yang berasa ditipu membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya lebih cakna dan mengambil tahu trend penipuan semasa bagi mengelak menjadi mangsa.

"Jika ada yang menjadi mangsa, diminta hubungi talian Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) dan membuat semakan di pautan https://semakmule.rmp. gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 2:53 PM