Norhanisah memandikan lembu di kandang di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah. Foto HASSAN OMAR
Norhanisah memandikan lembu di kandang di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Ketika rakan seusianya memilih kerjaya di kota dan selesa, gadis ini sebaliknya memilih menjadi 'gembala' lebih 1,000 kambing, kerbau serta lembu.

Minatnya terhadap industri penternakan haiwan ruminan menyebabkan Norhanisah Norsham, 22, tidak menoleh ke belakang dan meneruskan usahanya itu.

Segala tenaga dicurahkan bagi memastikan lembu, kerbau dan kambing diternak bapanya, Norsham Mat Jan, 52, sentiasa mendapat makanan mencukupi dan sihat.

Dia berkata, banyak menghabiskan masa di kandang haiwan peliharaan di Kampung Rantau Panjang, di sini.

Ditanya mengenai faktor yang mendorongnya berminat dengan sektor berkenaan, Norhanisah berkata, dia sudah sebati dengan kehidupan sebagai penternak haiwan sejak kecil.

"Sejak kecil saya mengikut ayah menyabit rumput, menabur palet (makanan) untuk lembu, kerbau dan kambing, membasuh kandang dan memandikan lembu dan kerbau," katanya.

"Saya juga dibesarkan dalam suasana sentiasa menghidu bau hamis lembu, kerbau dan kambing selain sudah biasa dengan pahit maung memelihara haiwan itu," katanya.

Saban hari anak kedua daripada lima adik-beradik itu dan beberapa pembantu bapanya memberi makan kira-kira 700 lembu, 300 ekor kerbau dan 150 kambing, termasuk biri-biri.

Ketika berada di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, Norhanisah tidak akan melepaskan peluang untuk berada di kandang selepas pulang dari sekolah semata-mata kerana sayang akan haiwan peliharaan bapanya.

"Saya sudah lali dengan bau najis lembu, kerbau dan kambing, apatah lagi dengan bau hamis badan haiwan itu yang semestinya kita tidak boleh lari jika sudah berada di kandang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 4:53 PM