MOHD Razali (kanan) antara yang sering meragut rumput di
MOHD Razali (kanan) antara yang sering meragut rumput di
Nurul Fatihah Sulaini

Jertih: "Setiap kali selepas solat Asar, saya bersama beberapa penternak akan datang ke padang ragut ini untuk meragut rumput untuk diberikan kepada ternakan."

Begitu kata Mohd Razali Jusoh, 60, yang kini berdepan dilema apabila kerajaan negeri didakwa akan menukar status padang ragut berkenaan sekali gus menjejaskan golongan penternak.

Mohd Razali dari Kampung Tok Has berkata, mereka menternak lembu sebagai punca pendapatan sampingan untuk menanggung keluarga.

Menurutnya, dia membela empat ekor lembu dan bergantung sepenuhnya hasil meragut rumput di padang itu sebagai sumber makanan utama untuk ternakannya.

"Saya tidak boleh terlalu bergantung kepada dedak kerana harganya semakin meningkat yang mana harga seguni dedak sekitar RM18 dahulu, kini mencecah lebih RM60.

"Harga dedak lebih mahal berbanding harga beras dan seguni dedak hanya bertahan untuk tiga hingga empat hari sahaja.

"Apabila ada cadangan mahu membatalkan status tanah rizab padang ragut kepada lot perumahan ini secara tidak langsung akan menjejaskan punca rezeki sebahagian besar penternak di sini," katanya.

Sementara itu, Rameli Mamat, 52, berkata sekiranya berdepan dengan masalah kewangan maka ternakan berkenaan boleh dijual.

"Kebanyakan penternak hanya membela lembu secara kecil-kecilan disebabkan itu kami amat bergantung sepenuhnya kepada rumput ini untuk mengurangkan kos makanan lembu.

"Kami berharap kerajaan negeri akan mempertimbang semula hasrat untuk membatalkan status tanah rizab padang ragut ini kerana akan memberi kesan kepada penternak," katanya.

Semalam, lebih 60 penternak lembu dan kambing sekitar Mukim Bukit Puteri mahu kerajaan negeri mengekalkan status tanah rizab padang ragut di kawasan itu untuk aktiviti penternakan serta pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:55 PM