IDRIS menunjukkan batang pisang yang sudah dipotong dan diberikan kepada lembu korban miliknya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
IDRIS menunjukkan batang pisang yang sudah dipotong dan diberikan kepada lembu korban miliknya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Pelbagai cara dan makanan pelik diberikan penternak bagi menggemukkan lembu yang diternak menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Bagaimanapun penternak berpengalaman lebih 30 tahun, Mohd Idris, 57, memilih menggunakan batang pisang sebagai makanan utama untuk menggemukkan 123 lembu.

"Sejak dulu saya memang menjadikan batang pisang yang diadun dengan garam kasar sebagai makanan utama untuk lembu korban bagi memastikan semua ternakan itu cepat gemuk.

"Batang pisang itu ibarat 'booster' untuk menggemukkan lembu dan hanya diberikan dalam tempoh dua bulan sebelum Aidiladha.

"Malah pemberian batang pisang itu juga membuatkan najis lembu tidak terlalu berbau busuk berbanding pemberian dedak sepenuhnya atau makanan lain," katanya ketika ditemui di kandang lembunya, di sini, hari ini.

Mohd berkata, 300 kilogram batang pisang diperlukan sehari dan dibeli daripada penduduk setempat selain menanamnya sendiri.

"Zaman dahulu penternak tidak memberi makan dedak kepada ternakan tetapi tetap gemuk dan batang pisang itu rahsianya.

"Saya juga memberi dedak kepada lembu tetapi dalam jumlah kecil iaitu 30 hingga 40 peratus selebihnya mengamalkan pemberian batang pisang dan jerami padi," katanya dari Kampung Tasek, Bukit Payong.

Tambahnya, lembu yang gemuk dan sihat menjadi faktor utama ternakan itu terjual untuk ibadah korban.

"Mereka (pelanggan) tidak terlalu berkira mengenai harga asalkan lembu yang disediakan gemuk dan sihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 12:27 PM