FOTO Ihsan Faceboook Datuk Seri Anwar Ibrahim
FOTO Ihsan Faceboook Datuk Seri Anwar Ibrahim
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Sime Darby Plantation Bhd (Sime Darby Plantation), menjadi pendukung dan pelopor kepada usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dalam sektor peladangan.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata pendekatan dan kemajuan teknologi yang digunakan syarikat peladangan itu, disasarkan menjadi contoh ikutan kepada pekebun-pekebun kecil pada masa akan datang.

Berkongsi mengenai lawatan kerjanya ke tapak operasi Sime Darby Plantation di Pulau Carey, Selangor, Anwar berkata beliau telah diperlihatkan potensi transformatif mekanisasi, automasi serta digitalisasi kepada sektor perladangan sawit.

"Ini termasuk penggunaan teknologi dan jentera terbaru perladangan seperti robot pengutip buah sawit terlerai berautonomi, serta jentera pengaplikasi baja yang dibangunkan oleh kepakaran dalaman syarikat tersebut.

"SD Plantation juga sedang merintis teknologi canggih yang dilengkapi dengan AI (kecerdasan buatan) dan pembelajaran mesin untuk mengurangkan pergantungan sektor ini, kepada kerja-kerja yang dilakukan secara manual dan seterusnya menarik minat lebih ramai lagi bakat-bakat muda tempatan, untuk membabitkan diri dalam industri sawit negara," kata Perdana Menteri.

Anwar turut menzahirkan kebanggaannya, setelah dimaklumkan bahawa wujudnya teknologi-teknologi di pusat operasi Sime Darby Plantation yang diusahakan oleh syarikat tempatan, seperti eMooVit Technology Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat teknologi tinggi Malaysia yang mengkhusus dalam teknologi kenderaan autonomous dan robotik.

"Dalam usaha sama dengan Sime Darby Plantation, eMooVit telah memajukan pelbagai teknologi termasuk Autonomous Mechanical Buffalo Grabber (AMBG), yakni sebuah kenderaan tanpa pemandu untuk mengutip kelapa sawit," katanya.

Perdana Menteri berkata satu lagi syarikat pemula tempatan yang menjadi rakan kerjasama Sime Darby Plantation ialah Braintree Technologies Sdn Bhd, yang membantu Sime Darby Plantation untuk membina penyembur baja autonomi, bagi memastikan proses pembajaan dilakukan dengan cekap dan tepat.

Selain itu, beliau berharap syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam sektor peladagangan, akan menggembleng tenaga, dana serta berkongsi minda dengan syarikat-syarikat pemula, bagi memastikan mereka berkembang ke persada antarabangsa dan mencapai potensi maksimum, seperti diilhamkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 12:16 AM