MOHD Bakke Salleh. FOTO arkib NSTP
MOHD Bakke Salleh. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

TAN Sri Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai pengerusi baharu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 31 Julai, 2018.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai timbalan pengerusi eksekutif dan pengarah urusan Sime Darby Plantations Bhd, mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak sawit, berdasarkan pembabitannya dalam beberapa syarikat perladangan, termasuk presiden dan ketua eksekutif kumpulan Sime Darby.

“Mohd Bakke bertanggungjawab memantau bahagian teras dalam kumpulan (Sime Darby), termasuk perladangan, hartanah, industri, permotoran dan logistik,” kata MPOB dalam satu kenyataan.

Sebelum menyertai Sime Darby, Mohd Bakke ialah pengarah urusan kumpulan Felda Holdings Bhd dan selepas itu beliau dilantik sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd pada Januari 2009.

Beliau juga sebelum ini berkhidmat sebagai pengarah urusan kumpulan dan CEO Lembaga Tabung Haji.

Mohd Bakke memiliki kelulusan Sarjana Muda Sains (Ekonomi) dari London School of Economics, United Kingdom, pada 1977.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 1:54 PM