ABDUL Ghani menyodok tanah bagi penanaman anak pokok sawit Genom Terpilih sebagai tanda simbolik permulaan tanaman komersial pohon sawit berhasil tinggi Sime Darby Plantation.
ABDUL Ghani menyodok tanah bagi penanaman anak pokok sawit Genom Terpilih sebagai tanda simbolik permulaan tanaman komersial pohon sawit berhasil tinggi Sime Darby Plantation.
BUAH sawit Genom Terpilih menghasilkan minyak lebih banyak.
BUAH sawit Genom Terpilih menghasilkan minyak lebih banyak.
Mohamad Hussin


Sime Darby Plantation menghasilkan benih sawit Genom Terpilih yang mampu mengeluarkan minyak lebih banyak tanpa perlu meningkatkan keluasan tanah.

Benih sawit itu dipilih menggunakan alat ujian genetik untuk mengeluarkan hasil tinggi dan akan ditanam di dua kawasan seluas 50 hektar di ladang Dusun Durian, Selangor dan Diamond Jubilee, Melaka.

Genom Terpilih dijangka menghasilkan lebih banyak minyak berbanding Calix 600 yang pada masa ini antara benih sawit terbaik.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, sawit Genom Terpilih mengeluarkan minyak lebih banyak.

Beliau berkata, kejayaan itu selaras dengan komitmen kelestarian Sime Darby mahu meningkatkan hasil, tetapi mengurangkan keluasan tanah.

“Sepanjang tujuh tahun lalu, kami mengaplikasikan pengetahuan mengenai populasi genom pohon sawit menerusi ujian genetik.

“Kini kami boleh memilih benih terbaik untuk ditanam dan mengenal pasti induk sawit terbaik untuk penghasilan benih.

“Sime Darby menerajui pelbagai inovasi dalam industri perladangan dan kami berbangga meneruskan tradisi ini melalui projek genom,” katanya pada majlis Penanaman Pertama Genom di Pulau Carey, Selangor, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Sime Darby Tan Sri Abdul Ghani Othman. Hadir sama Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Datuk Franki Anthony Dass dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Sime Darby Plantation Dr Harikrishna Kulaveerasingam.

Mohd Bakke berkata, benih sawit terpilih itu mempunyai potensi menghasilkan sekurang-kurangnya 15 peratus lebih tinggi minyak berbanding Calix 600.

“Menjelang tahun 2023, Sime Darby Plantation akan mempunyai bahan genom mencukupi untuk memenuhi semua keperluan penanaman di Malaysia.

“Syarikat mempunyai polisi penanaman semula antara empat hingga lima peratus daripada keluasan tanah setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, dengan pertumbuhan yang baik, potensi kadar hasil sawit Genom Terpilih boleh melebihi 11 minyak perhektar (MT) dengan hasil purata minyak melebihi 6.1 MT meliputi semua operasi Sime Darby Plantation di Malaysia, berbanding penghasilan Calix 600 sebanyak 5.3 MT.

“Pada 2009, Sime Darby menjadi syarikat pertama di dunia yang berjaya menggunakan teknologi baru (generasi kedua) untuk menyusun, menyambung dan menganotasi urutan kompleks sebanyak 1.8 bilion unit kimia yang membentuk kod genetik pohon sawit,” katanya.

Sementara itu, Dr Harikrishna berkata, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sime Darby bagi Bioteknologi dan Pembiakan menyusun kod genetik bagi lebih 200 pohon kelapa sawit yang dipilih dengan teliti untuk mewakili kepelbagaian koleksi Sime Darby.

Katanya, kod genetik itu dianalisis dengan bantuan kajian pembiakan Sime Darby Plantation dalam tempoh 20 tahun lalu yang membolehkan pasukan mengenal pasti ciri kelapa sawit berhasil tinggi.

“Pasukan ini kemudian berjaya menghasilkan formula untuk meramalkan hasil sawit menggunakan ujian genetik.

Kemudahan ujian genetik ditubuhkan pada tahun 2015 di Pusat Teknologi Sime Darby dengan sejumlah 80,000 anak benih digunakan untuk ujian Genom Terpilih disampel, dilabel dan dianalisis.

“Pada masa depan kami dapat melakukan proses penanaman dengan lebih pantas dan tepat, seterusnya meningkatkan prestasi perladangan dengan baka pokok lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 11:44 AM