MOHD Shuhaily berkata, polis menyiasat kes serangan pemain bola dengan isu dihadapi FAM. FOTO Hazreen Mohamad.
MOHD Shuhaily berkata, polis menyiasat kes serangan pemain bola dengan isu dihadapi FAM. FOTO Hazreen Mohamad.
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Polis menyiasat kes serangan ke atas tiga pemain bola sepak negara sekiranya ia berkait tohmahan yang dilempar ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya sedang meneliti perkara itu secara menyeluruh.

"Kita melihat keseluruhan adakah tohmahan kepada FAM sebulan lalu yang mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah nyatakan bahawa tohmahan itu tidak berasas.

"Adakah disebabkan kenyataan itu membawa kepada tindakan sebegini? Ketidakpuasan hati kepada FAM diluahkan kepada pemain kebangsaan? Kita libatkan semua sudut dan aspek siasatan.

"Bagi kes kedua (Faisal Halim), kita sedang tunggu beberapa laporan khususnya laporan kimia berkaitan asid yang digunakan suspek.

"Saya juga menunggu laporan daripada pegawai saya bagaimana daripada kecederaan tahap dua merebak ke tahap empat," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, motif kejadian masih dalam siasatan kerana berdasarkan kes pertama dan ketiga, serangan mengakibatkan kerugian manakala kes kedua melibatkan kecederaan.

"Bagi ketiga-tiga kes, setakat ini seramai 15 orang sudah dirakam keterangan.

"Untuk kes kedua, seramai 10 orang direkod keterangan termasuk ahli keluarga dan saksi berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan laporan polis dibuat pihak Pengurusan Selangor FC dan siasatan dijalankan oleh USJT JSJ Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 5:01 PM