GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk ketua pengarah agensi keselamatan sudah dirakam percakapan selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, wanita berusia 39 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual berulang kali melalui aplikasi WhatsApp oleh ketua pengarah agensi terbabit antara individu yang memberi keterangan.

Menurutnya, kes di peringkat akhir siasatan dan polis sudah memanggil suspek untuk dirakam percakapan bermula 2.30 petang hingga 4 petang semalam serta merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam perlakuan jenayah itu.

"Tiga saksi dipanggil membabitkan pengadu (mangsa), suspek dan pegawai khas kepada suspek. Dijangka beberapa saksi lagi akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan siasatan.

"Keterangan pegawai khas terbabit diambil untuk mengesahkan jika ada pertemuan antara mangsa dengan suspek.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 507A KK, Seksyen 292 KK, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya pada sidang di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai laporan polis dibuat oleh mangsa yang juga penasihat pelaburan mendakwa diganggu secara seksual oleh individu berpangkat datuk berkenaan.

Mangsa mendedahkan mereka bertemu di pejabat suspek untuk menawarkan peluang pelaburan kewangan.

Suspek didakwa terus menghubungi mangsa dan cuba mengajak wanita terbabit ke hotel serta menghantar video berunsur lucah kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 12:29 PM