Mohd Shuhaily Mohd Zain
Mohd Shuhaily Mohd Zain
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Individu yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris dan agama Islam didapati sudah keluar dari Malaysia sejak 2017.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, semakan mendapati lelaki terbabit tidak pernah pulang sejak meninggalkan negara sehingga kini.

Menurutnya, polis pernah memohon notis merah terhadap lelaki itu, namun gagal berikutan kesalahan membabitkan isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3 Polis Antarabangsa (Interpol).

"Kesalahan yang dilakukannya berkaitan agama dan perkauman tidak diletakkan dalam Artikel 3 Interpol.

"Justeru, kita mengambil tindakan lanjut dengan meminta Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasportnya pada November 2020," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka setakat ini ke atas suspek terbabit atas kesalahan menghina institusi diraja, agama, dan kaum sejak 2017.

"(Dia) juga pernah didakwa secara in absentia pada 2022 kerana menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Berkaitan video tular baru-baru ini, kita percaya ia dimuat naik dari luar negara. Kita akan perkemaskan kertas siasatan sebelum hantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk arahan selanjutnya," katanya.

Terdahulu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua laporan berhubung klip video tular memaparkan suspek menghina menghina agama Islam, Sultan Sharafuddin Idris selain membuat tohmahan terhadap PDRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan pemilik akaun Facebook itu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:59 PM