Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dalam kemalangan di Beaufort. FOTO Ihsan Bomba
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dalam kemalangan di Beaufort. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Beaufort: Pasangan suami isteri maut selepas terbabit dalam kemalangan dua kenderaan di Jalan Kampung Lingkungan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, Midin @ Maidin Sinja, 69 dan isterinya Jurai Imran, 65, maut tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dinaiki pasangan terbabit.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan kenderaan Toyota Unser bertembung dengan kereta Perodua Myvi, jam 1.56 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, ada empat mangsa tersepit dalam Perodua Myvi dan Toyota Unser dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba.

"Dua mangsa dalam Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

"Manakala dua lagi mangsa dalam kenderaan Toyota Unser juga pasangan suami isteri berusia 69 dan 64 cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada pasangan terbabit seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan kira-kira jam 4 petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 9:26 PM