Kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta Proton Saga di jalan berhampiran Latihan Dakwah Sikuati, Kudat. FOTO Ihsan Bomba
Kemalangan membabitkan sebuah van dan kereta Proton Saga di jalan berhampiran Latihan Dakwah Sikuati, Kudat. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Kudat: Seramai 13 individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah van yang membawa 10 pelajar sekolah dengan sebuah kereta Proton Saga di jalan berhampiran Latihan Dakwah Sikuati, di sini, petang tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 6.29 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Martini Asangki, digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan dua kenderaan van jenis Toyota Hiace dan Proton Saga LMST. Terdapat dua mangsa tersepit di dalam Proton Saga berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan dilaporkan parah.

"Manakala pemandu van dan penumpang iaitu 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati 1, iaitu enam lelaki dan lima perempuan dilaporkan cedera," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

"Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS, ambulans dan juga kenderaan polis untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 7.40 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 11:01 PM