ANGGOTA bomba membawa naik seorang daripada mangsa yang ditemui. FOTO Ihsan JBPM Sabah.
ANGGOTA bomba membawa naik seorang daripada mangsa yang ditemui. FOTO Ihsan JBPM Sabah.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam laut dekat Jalan Batu 7, Kampung Payang, di sini malam tadi.

Mangsa, Edwin, 25, dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, ditemukan lemas oleh pasukan bomba yang terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.50 malam.

Katanya, seramai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke lokasi dan mendapati kereta Perodua Myvi terjunam dalam laut.

"Pasukan bomba menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam Syarikat Synergy Multi Resources Sdn Bhd," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selaman pertama berjaya menarik seorang mangsa keluar dari kereta dan dibawa naik pada 12.06 tengah malam.

"Tindakan seterusnya mengikat tali pada kereta Myvi untuk ditarik menggunakan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek bagi mencari mangsa kedua.

"Selaman kedua dilakukan oleh pasukan bomba dan mangsa kedua berjaya ditemui pada 1.31 pagi," katanya.

Riki berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat pada 1.58 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 9:34 AM