Sahabudin (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu yang baharu antara Mohd Khairi (kanan) dan Mazli. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Sahabudin (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu yang baharu antara Mohd Khairi (kanan) dan Mazli. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohd Khairi Khairudin dilantik sebagai Ketua Polis Terengganu berkuat kuasa hari ini.

Perlantikan Mohd Khairi sebagai Ketua Polis Terengganu ke-32 itu bagi menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang bertukar ke agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu dengan menyandang jawatan lama Mohd Khairi.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan di Dewan Redang Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sahabudin dalam ucapannya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mazli sepanjang berkhidmat di Terengganu dan berharap Mohd Khairi dapat meneruskan kecemerlangan pimpinan yang terdahulu.

Sementara itu, Mazli dalam ucapannya berkata, terdapat banyak pencapaian dikecapi sepanjang mengetuai Kontinjen Terengganu bermula 3 Mei tahun lalu.

Katanya, ia termasuk penurunan kadar indeks jenayah, pencapaian tempat pertama Ops Selamat Aidilfitri 2024 serta kelancaran Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Dalam pada itu, Mohd Khairi yang sudah 32 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahu menggunakan pengalaman bersama Unit Tindakan Khas (UTK) dan NADMA untuk memacu kejayaan Kontinjen Terengganu.

"Kami akan terus berinteraksi dengan masyarakat bagi menjaga ketenteraman awam," katanya.

Turut diadakan upacara menandatangani dan penyerahan dokumen terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Terengganu di antara Datin Izzati Datuk Shafii dan Datin Nur Haniza Jaafar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 12:48 PM