NYAU Ke Xin beramah mesra bersama sambil menerangkan mengenai manifestonya kepada orang ramai di pekan Kuala Kubu Bharu. FOTO Eizairi Shamsudin
NYAU Ke Xin beramah mesra bersama sambil menerangkan mengenai manifestonya kepada orang ramai di pekan Kuala Kubu Bharu. FOTO Eizairi Shamsudin
Fahmy A Rosli


Hulu Selangor: Calon Bebas, Nyau Ke Xin menafikan beliau menjadi proksi kepada mana-mana parti politik untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Menurut wanita berusia 27 tahun itu, beliau juga menolak dakwaan ditaja pihak tertentu untuk PRK itu, sebaliknya, menegaskan tampil secara sukarela dengan sokongan keluarga dan menggunakan wang simpanan sendiri.

"Tuduhan proksi mana-mana parti itu tidak betul, saya ada buat video di aplikasi TikTok menafikan tuduhan proksi.

"Saya tidak diupah atau menjadi proksi mana- parti malah saya ada buat surat bersumpah di pejabat Pesuruhjaya Sumpah.

"Saya masuk bertanding PRK guna duit simpanan saya, bukan ditaja mana-mana pihak," katanya pada sidang media selepas melancarkan manifestonya untuk PRK DUN Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai tawaran manifestonya, Ke Xin menggariskan komitmennya untuk mengkaji secara terperinci masalah perolehan tanah individu serta rumah ibadat.

Selain itu, beliau akan memastikan harga barang keperluan ruji dan basah sentiasa dipantau, termasuk memastikan akses kepada kemudahan kesihatan untuk kegunaan penduduk setempat.

Tambahnya, beliau turut berjanji untuk menyediakan pengangkutan khas untuk warga emas yang mahu mendapatkan khidmat di hospital.

Tidak terkecuali, beliau juga akan menyediakan perkhidmatan van jenazah percuma kepada warga Kuala Kubu Baharu.

Dalam pada itu, Ke Xin juga menjelaskan beliau tidak pernah menganggotai mana-mana parti politik sebelum ini.

Memasuki minggu kedua kempen, Ke Xin cuma sempat bertemu dengan 20 peratus pengundi di Kuala Kubu Bharu menerusi kempen bersemuka.

Menjelaskan mengenai kekangan dihadapi, beliau berkata ia kerana beliau tidak mempunyai jentera pilihan raya seperti mana dimiliki calon PRK yang lain.

"Parti lain ada jenteranya, saya kurang sikit sebab tidak ada jentera, cuma ada pasukan kecil untuk buat kempen. Sebagai calon, saya buat sendiri kempen dengan ditemani rakan-rakan saya yang lain," jelasnya.

Calon Kerajaan Perpaduan dari DAP, Pang Sock Tao akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) dari BERSATU, Khairul Azhari Saut, Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin dan Bebas diwakili Ke Xin.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 3:17 PM