Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika sidang media selepas Merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan - Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor di Dewan Al-Ghazali Maktqb Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kubu Bahru. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika sidang media selepas Merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan - Cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor di Dewan Al-Ghazali Maktqb Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Kubu Bahru. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Amirul Aiman Hamsuddin

Hulu Selangor: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal berpegang pada prinsip dengan menghormati kerusi yang dimenangi parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan dibuat parti adalah mendukung mana-mana calon atas nama Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika ada permasalahan dan kenyataan yang dikeluarkan, saya berpendapat bahawa itu pendirian parti masing masing-masing dan berharap ia adalah sementara sahaja.

"Jika kenyataan itu keluar kerana kecil hati, saya harap perkara ini dapat diselesaikan bagi menjernihkan kekeruhan sedia ada.

"Saya berpendapat kita harus berada dalam keadaan politik harmoni kerana sama ada di peringkat negeri atau pusat, hendaklah diselesaikan dan ini akan mempermudahkan Perdana Menteri untuk mencari titik persamaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat kelompok cawangan-cawangan UMNO Bahagian Hulu Selangor dan jamuan Aidilfitri di Dewan Al-Ghazali, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim.

Terdahulu, beliau diminta mengulas berhubung dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang dikata memutuskan tidak mahu terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sekiranya kerusi itu tidak ditandingi calon parti komponen BN.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan bertemu kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) berkenaan untuk membincangkan perkara itu.

"Itu (enggan berkempen) sementara sahaja. Kita akan ikhtiar jalan terbaik," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 8:11 PM