Mohamad Hasan ketika bertemu pengamal media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kampung Tanjung, Rantau hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamad Hasan ketika bertemu pengamal media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Kampung Tanjung, Rantau hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Rembau: Barisan Nasional (BN) menghormati sistem yang diperakukan sebelum ini bahawa parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan akan diberi keutamaan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerusi Kuala Kubu Bharu adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan tidak sepatutnya timbul pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang enggan membantu kempen PRK berkenaan.

"Ini bukan Pilihan Raya Umum (PRU), kita boleh tukar-tukar kerusi, tapi bila ada kematian, kita bagi peluang kepada parti pemegang jawatan untuk meletakkan calon.

"Namun berhubung hasrat MCA dan MIC yang enggan berkempen, kita akan uruskan perkara itu dalam Barisan Nasional, sebab dulu semasa di Johor (PRK Pulai, Simpang Jeram), Amanah bertanding kita bantu.

"Apabila PRK Pelangai yang ditandingi BN (Umno), semua parti dalam Kerajaan Perpaduan juga membantu bersama.

"Kini timbul giliran DAP yang mana dia adalah pemegang jawatan, selalunya berdasarkan persefahaman bila berlaku kematian, parti itulah yang kita bagi keutamaan (meletakkan calon)," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang menetapkan parti komponen BN itu tidak akan berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berkenaan sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu semalam.

Sebelum ini, MIC yang juga parti komponen BN juga dikatakan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, prinsip yang diamalkan sebelum ini adalah saling membantu.

"Orang dah bantu kita, kini kita pula membantu, ini semua untuk pastikan supaya urusan menghadapi PRK ini dapat diuruskan dengan baik," katanya.

Mohamad berkata, BN bukan bergabung dengan PH tapi sekadar membantu rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, calon PRK itu nanti adalah wakil Kerajaan Perpaduan yang dipersetujui.

"Jadi, calon itu nanti adalah calon Kerajaan Perpaduan, kita akan berkempen mengikut apa yang kita lakukan pada PRK lain sebelum ini.

"Ketika ini ia adalah persefahaman yang telah kita persetujukan bagi menghadapi PRK.

"Keadaan ketika ini berbeza apabila menghadapi PRU ke-16 akan datang, namun perkara itu belum dirundingkan lagi sama ada kita (BN) akan bersama atau berseorangan, itu terpulang pada ketika itu," katanya.

Mohamad berkata, BN akan bermesyuarat apabila calon PRK Kuala Kubu Bharu diumumkan dan akan menyusun program serta susun atur kempen di sana nanti.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 2:19 PM