NGA Kor Ming (dua , kanan) menyantuni orang ramai yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Teluk Intan Bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. FOTO Bernama.
NGA Kor Ming (dua , kanan) menyantuni orang ramai yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Teluk Intan Bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. FOTO Bernama.
Muhamad Lokman Khairi


Teluk Intan: Isu perumahan yang membelenggu 245 keluarga pekerja di lima estet di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu di Selangor sejak 1998, akan diselesaikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, penyelesaian terhadap masalah hampir tiga dekad itu akan diumumkannya minggu depan.

"Sudah 26 tahun (isu perumahan) tak selesai, maka kini di bawah kerajaan Madani, atas jasa baik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) serta Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Datuk M Noor Azman Taib).

"Minggu depan kita akan bawa satu berita baik. Ini akan melibatkan peruntukan besar yang ditunggu komuniti India (di lima estet berkenaan) sejak 1998.

"Akhirnya (masalah ini) dapat diselesaikan," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan semalam.

Sebelum ini media melaporkan pengundi di lima ladang di Dun Kuala Kubu Baharu sudah serik 'ditipu' berkali-kali apabila rumah dijanjikan masih belum dibina, meskipun tapak sudah disediakan bekas majikan.

Berikutan itu penduduk dilapor meletakkan syarat, jika ada mana-mana calon yang inginkan sokongan mereka pada hari pengundian 11 Mei ini perlu membuat perakuan berkanun (SD) bagi menunaikan segala janji yang ditabur.

Penduduk yang terjejas di Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 12:31 AM