GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Kompleks Mahkamah Seremban. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengarahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang wanita kerana gagal hadir bagi sebutan semula kes mengabaikan anak kandung perempuannya berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematian, Mac lalu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Azizmemohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh, Noraini Haron, 42.

Pada 1 April lalu, Noraini dengan teman lelakinya Mohd Khairul Shamsua Israk, 38 mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Prosiding hari adalah untuk mengemukakan laporan forensik, namun hanya Mohd Khairul yang hadir, namun Noraini termasuk penjaminnya tidak hadir sehingga jam 10.20 pagi.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli berusia tiga tahun mengabaikan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan dari 18 Mac hingga 24 Mac 2024 antara jam lebih kurang jam 12 tengah hari hingga 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung di Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 1:01 PM