Ana bersama anak bongsunya yang menjadi mangsa pengabaian dan penderaan di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Ana bersama anak bongsunya yang menjadi mangsa pengabaian dan penderaan di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Impian seorang kanak-kanak lelaki mangsa penderaan dan pengabaian untuk tinggal bersama ibu kandung menjadi kenyataan pada hari ini.

Ibu kandung kanak-kanak berusia tujuh tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ana, 34, berkata, dia bersyukur kerana mahkamah membenarkan penempatan sementara bagi anaknya selama dua bulan di kediaman keluarganya.

Menurutnya, dia akan membawa anak bongsu daripada tiga beradik ke kediaman keluarga di Kuala Selangor, hari ini.

"Saya bersyukur kerana dapat membawa pulang anak hari ini. Dia menyatakan sudah lama memasang impian untuk tinggal bersama saya dan bersekolah seperti kanak-kanak lain.

"Saya akan mendaftarkannya ke sekolah dan kami sekeluarga juga berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan anak saya cepat sembuh," katanya ditemui di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru di sini, hari ini.

Perintah dikeluarkan oleh Majistret Nor Fatin Mohamad Farid di Mahkamah Kanak-kanak Johor Bahru.

Hadir di perkarangan mahkamah, Pelindung Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zaid Ikhwan Lim dan ahli keluarga mangsa.

Pada 22 Oktober lalu, seorang bapa dan teman wanitanya mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini, atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki sehingga kesihatannya merosot, daripada Julai sehingga Oktober tahun ini.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, teman wanitanya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan fizikal pada tangan kanan kanak-kanak itu.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pulai Jaya, Johor Bahru antara Julai hingga 12 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Navin diselamatkan pada 13 Oktober lalu hasil laporan polis dilakukan seorang jiran yang mendakwa kanak-kanak itu dikurung di tandas dan dalam keadaan tidak bermaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 4:03 PM