Noraini  Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak kandung perempuannya berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Noraini  Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak kandung perempuannya berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya bulan lalu. FOTO ARKIB NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: Pasangan kekasih menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengabaikan anak perempuan berusia tiga tahun sehingga mengakibatkan kematiannya, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Noraini Haron, 42, dan Mohd Khairul Shamsua Israk, 38, menukar pengakuan itu dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Ketika dihadapkan ke mahkamah pada 1 April lalu, mahkamah menetapkan tarikh 2 Mei bagi laporan forensik, namun Noraini tidak hadir pada prosiding berkenaan sebelum Meor Sulaiman mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap wanita itu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli, telah mengabaikan kanak-kanak terbabit sehingga menyebabkan kematiannya.

Kesalahan itu dilakukan daripada 18 Mac hingga 24 Mac lalu antara jam 12 tengah hari hingga jam 6.45 petang di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Sebutan semula pada 12 Julai depan bagi laporan forensik.

Media pada 27 Mac lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Bandar Sunggala, Port Dickson, pada 26 Mac bagi membantu siasatan membabitkan kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada Hospital Port Dickson pada 24 Mac memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal akibat terjatuh daripada kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 12:48 PM