SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh kerana menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun. FOTO L Manimaran
SUAMI isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh kerana menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun. FOTO L Manimaran
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, atas pertuduhan membunuh anak saudara mereka dua minggu lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan kedua-dua tertuduh, Zainuddin Noh, 40, dan isterinya, Norhazleyana Azreen Abdul Hamid, 40, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Desa Pengkalan, Bandaraya 18, Desa Pengkalan pada jam 10 malam, 13 Mei hingga jam 7 pagi pada 14 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pengarah Pendakwaan negeri, Azlina Rasdi manakala Norhazleyana diwakili peguam, Mohd Hisham Mohd Nazir.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 30 Jun hadapan.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang juga peniaga kecil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan hingga mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap adik mangsa.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, mereka melakukan penganiayaan dengan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di alamat sama pada jam 1.30 tengah hari dan 10.30 malam pada 13 Mei lalu.

Justeru mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, suami isteri ditahan susulan kematian anak saudara mereka.

Laporan polis dibuat pegawai perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 1:20 PM