Dr Mohd Izhar Ariff
Dr Mohd Izhar Ariff
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Golongan agamawan wajib beramal segala ilmu agama yang dipelajari supaya tidak terjebak dengan maksiat khususnya liwat atau zina.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, bukan saja golongan itu tapi semua orang Islam perlu tegas dalam soal amal makruf nahi mungkar.

"Isu liwat bukan perkara baharu dalam Islam bahkan ia sudah dilaknat oleh Allah dalam al-Quran sejak Nabi Luth lagi. Maka tidak pelik perkara itu masih berlaku pada hari ini apatah lagi fitnah semakin banyak.

"Agamawan bukan malaikat. Mereka manusia biasa yang pasti tidak boleh lari daripada dugaan ini.

"Nasihat saya kepada semua, kita perlu tegas dalam amal makruf nahi mungkar. Jika ada maklumat mengenai perkara ini kita wajib melaporkan kepada pihak berwajib supaya gejala songsang ini dapat dihindarkan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai agamawan terpalit dengan isu meliwat penuntut yang dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Mohd Izhar berkata, kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap pelaku yang disabitkan bersalah.

"Budaya jijik ini bahaya jika tidak ditegah oleh kerajaan dengan pelbagai kaedah supaya nama Malaysia sebagai negara Islam terpelihara di mata dunia," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis Kelantan menerima enam laporan membabitkan kes seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz yang ditahan kerana disyaki meliwat tiga pelajarnya sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak akan ada lagi laporan dibuat mangsa terhadap suspek.

Katanya, enam laporan diterima masing-masing tiga di Machang dan Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:02 PM