ISLAM sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa dan membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian. FOTO Arkib NSTP
ISLAM sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa dan membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian. FOTO Arkib NSTP
Dr Azri Bhari

Reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tercalar susulan laporan salah laku dalam kalangan pegawai tinggi badan berkenaan sehingga menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat.

Amalan rasuah adalah antara jenayah yang berbahaya dan boleh menyebabkan kehancuran sesebuah masyarakat.

Impak negatif amalan rasuah mengakibatkan pelbagai masalah sosial, kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa kerana ketidak patuhan terhadap undang-undang sepenuhnya.

Rasuah bukan hanya menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, penyeludupan dan sebagainya, bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT, musibah, bala dan wabak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Baqarah: 188)

Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Kutukan Allah SWT atas pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Riwayat Ahmad: 6984 dan Ibnu Majah: 2313)

Perkataan rasuah berasal daripada bahasa Arab iaitu  'al-risywah'. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan diskaun.

Menurut undang-undang Malaysia yang terkandung dalam Seksyen 3 (a)(b) dan 4 (a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai: "Menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya."

Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah; "Wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya."

Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab 'al-Halal wa al-Haram fi al-Islam' bahawa: "Menerima rasuah adalah termasuk kategori memakan harta orang lain dengan cara yang batil seperti wang yang diberikan kepada pihak penguasa atau pegawai supaya menjatuhkan hukuman yang menguntungkan dirinya atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya."

Islam sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa dan membarah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian.

Pertama, memupuk dan membentuk nilai keimanan dan ketakwaan yang tinggi dalam diri. Setiap rakyat dan pemimpin perlu memantapkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT bagi mengelakkan perlakuan rasuah.

Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap tindakan dan perlakuan manusia. Justeru, sifat mahmudah (terpuji) seperti integriti dan kejujuran perlu diterapkan dalam kehidupan kerana dinilai oleh Allah SWT.

Selain itu, sikap takut terhadap azab dan siksaan neraka perlu dihadirkan akibat dosa dan kesalahan rasuah yang dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat seksanya." (Surah Al-Maidah: 2)

Kedua, bimbingan dan kempen berterusan berkaitan keburukan dan bahaya rasuah. Pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan berkaitan perkara ini sehingga menjadi agenda utama dan penting dalam tindakan.

Kerjasama mufti, agamawan, atau pendakwah diperlukan dalam memberi bimbingan dan bergerak aktif dalam menyampaikan kebenaran amar makruf atau nahi mungkar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Surah Ali Imran: 110)

Ketiga, melaksanakan tindakan yang tegas terhadap pesalah yang terlibat amalan rasuah. Pegawai dan penguat kuasa undang-undang perlu melaksanakan tindakan tegas tanpa pilih kasih sama ada yang dilakukan oleh rakyat biasa atau pemimpin negara.

Hukuman yang dikenakan adalah bertujuan untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada seluruh pemimpin dan masyarakat supaya lebih serius dan waspada terhadap gejala rasuah.

Demikianlah, kesedaran dan perhatian terhadap bahaya rasuah perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat supaya terhindar impak dan kesan negatif yang boleh menghancurkan dan merosakkan negara.

Sinergi pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam membanteras gejala rasuah perlu dijalin dengan baik secara berterusan.

Penulis Pensyarah Kanan,  Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),  Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 7:00 AM