Bangunan KWSP.
Bangunan KWSP.

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian mengenai Akaun 3 esok.

Akaun terbaharu itu menawarkan kelonggaran kepada pencarum dalam menguruskan simpanan mereka.

Difahamkan ahli KWSP akan diberi tempoh untuk membuat keputusan mengenai pengeluaran caruman dari akaun sedia ada ke akaun baharu kelak.

Selepas dilaksanakan nanti, semua pencarum akan memiliki tiga akaun berbeza berbanding hanya dua akaun caruman ketika ini.

Berdasarkan sistem yang dilaksanakan buat masa ini, 70 peratus daripada caruman bulanan ahli KWSP disalurkan ke dalam Akaun 1, yang tidak boleh diakses sehingga selepas bersara.

Manakala, baki 30 peratus lagi dimasukkan ke Akaun 2, yang boleh diakses untuk membayar pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan, serta pengeluaran pada usia 50 tahun.

Pada 2023, KWSP membayar dividen RM57.8 bilion kepada ahli terdiri daripada 5.5 peratus dividen untuk akaun konvensional dan 5.4 peratus untuk akaun Syariah.

Pada akhir tahun 2023, KWSP mempunyai 8.5 juta ahli aktif. Daripada jumlah itu, 6.7 juta adalah pencarum akaun konvensional, manakala selebihnya mempunyai akaun Syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 5:07 PM