Ramli Mohamed Yoosuf (belakang enam dari kiri) bergambar dengan pelakon-pelakon filem OPPA arahan Captain Denil ketika pelancaran Filem OPPA di GSC Starling Mall, Damanasara Utama. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Ramli Mohamed Yoosuf (belakang enam dari kiri) bergambar dengan pelakon-pelakon filem OPPA arahan Captain Denil ketika pelancaran Filem OPPA di GSC Starling Mall, Damanasara Utama. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Filem kesedaran mengenai jenayah scam bertajuk 'Oppa' dapat memberi kesedaran kepada golongan wanita berhubung penipuan dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof berkata, fokus utama di dalam filem adalah disasarkan kepada golongan wanita yang berisiko menjadi mangsa penipuan terutama love scam dan romance scam.

"Kita berharap menerusi filem yang akan ditayangkan ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai terutama golongan wanita bahawa mereka perlu sentiasa berhati-hati.

"Filem ini adalah berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dan saya yakin ketika kita sedang bercakap soal ini ada individu yang menjadi mangsa penipuan di mana seorang individu menjadi mangsa penipuan sehari," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Tayangan Perdana Filem Oppa di pusat beli-belah Starling, hari ini.

Filem Oppa akan ditayangkan pada 9 Mei ini menampilkan pelakon dari pelbagai kaum, ia turut menggunakan beberapa bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, India, Korea dan dialek.

Lebih menarik filem ini turut dilakonkan oleh pegawai dan anggota polis sebenar termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Asisten Superintendan Rahmat Fitri yang mana mereka melakonkan aksi sebenar berdepan sindiket penipuan.

Filem berdurasi 90 minit itu yang menelan kos RM1 juta ini mengisahkan seorang guru sekolah rendah yang mendambakan cinta dan bertemu jejaka idamannya di dunia maya tanpa menyedari dirinya terpedaya dengan sindiket love scam.

Ramli berkata, filem adalah antara satu medium yang digunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi kesedaran berhubung penipuan kepada orang ramai.

"Kita sudah lakukan pelbagai cara pencegahan antaranya kempen kesedaran, ceramah dan pameran di semua peringkat.

"Jadi kita menggunakan industri hiburan ini kerana ia adalah satu medium yang sangat berpotensi menyampaikan mesej kesedaran berhubung penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:07 PM