GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket penipuan love scam apabila menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga asing dalam serbuan di tiga unit kondominium di Jalan P Ramlee di sini, semalam.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, seramai sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan love scam.

"Semakan awal mendapati terdapat unsur penipuan menggunakan platform sosial seperti Facebook, Tinder, Instagram, dan WhatsApp.

"Sindiket ini menggunakan gambar profil individu dari luar negara yang berbeza dan menipu mangsa dengan menggunakan ayat cinta melalui skrip disediakan.

"Mangsa yang terpedaya diarahkan untuk membuat pemindahan wang ke akaun bank dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Allaudeen berkata, siasatan turut mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa dari negara ini, Singapura dan China.

Katanya, serbuan turut merampas 24 telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh komputer riba dan satu skrip perbualan yang digunakan untuk memperdaya mangsa serta beberapa dokumen berkaitan.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dalam menggunakan laman sosial.

Orang ramai juga diminta untuk membuat semakan melalui htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat bayaran ke akaun yang tidak dikenali.

Selain itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat di Bilik Gerakan Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 4:19 PM