SCAMMER love scam  menggunakan gambar jejaka tampan Korea Selatan untuk memperdaya mangsa.
SCAMMER love scam menggunakan gambar jejaka tampan Korea Selatan untuk memperdaya mangsa.
Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Fenomena 'Oppa' yang menjadi kegilaan di seluruh dunia turut digunakan sindiket scammer love scam sebagai taktik baharu bagi memerangkap mangsa dengan ketampanan jejaka Korea Selatan.

Jika sebelum ini lelaki Eropah menjadi tarikan sindiket untuk memerangkap mangsa, namun trend menunjukkan mereka sudah mula menyamar sebagai 'Oppa' bagi menjalinkan hubungan 'cinta' sebelum memerangkap mangsa yang akhirnya ditipu sehingga mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit.

Ada yang menyamar kononnya bekerja di pelantar minyak, ahli perniagaan dan sebagainya serta sedang mencari jodoh bagi memperdayakan mangsa.

Malah sindiket sanggup menyunting gambar asal dan meletakkan wajah jejaka Korea Selatan bagi meyakinkan mangsa untuk mempercayai mereka.

Daripada situ mangsa yang tertarik dengan ketampanan wajah palsu itu akhirnya jatuh cinta dan menjalin hubungan melalui media sosial.

Tembelang sindiket ini mula kelihatan selepas menjalinkan hubungan cinta selama beberapa bulan sebelum memberitahu mangsa kononnya mereka mengalami masalah dan amat memerlukan wang.

Mangsa yang terpedaya akhirnya sanggup meminjamkan wang tanpa menyedari diri sudah ditipu.

Mengakui trend penipuan 'Oppa' ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket love scam sentiasa mencari modus operandi baharu untuk memperdayakan mangsa dan trend terkini menunjukkan mereka menyamar sebagai lelaki Korea Selatan berwajah tampan bagi memerangkap mangsa.

Menurutnya, penipuan love scam antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang kerap dilaporkan dengan 7,554 kes membabitkan nilai kerugian lebih RM382 juta dicatatkan dalam tempoh lima tahun ini.

"Kajian dilakukan jabatan ini turut mendapati daripada sejumlah 7,554 kes yang direkodkan, 82.8 peratus atau 6,257 mangsa adalah wanita.

"Bakinya iaitu 1,297 kes membabitkan mangsa lelaki apabila mungkin jumlahnya lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan," katanya.

Ramli berkata, kebanyakan wanita menjadi mangsa masih bujang dan ibu tunggal serta terperangkap disebabkan cinta.

"Ada kes mangsa ditipu RM12 juta selepas mempercayai suspek, namun polis yakin trend penipuan ini akan menurun menerusi kempen kesedaran yang dijalankan.

"Jangan mudah terpesona dengan gambar profil cantik atau tampan digunakan di media sosial dan jangan mudah terperdaya dengan kata manis atau janji mereka," katanya.

Beliau berkata, sindiket akan bermain dengan psikologi mangsa sehingga menimbulkan elemen perasaan percaya kepada suspek.

"Apabila elemen kepercayaan itu sudah ada, mangsa tanpa sedar sanggup meminjamkan wang simpanan malah ada yang menjual harta bagi diserahkan kepada scammer.

"Jika kita dengar agak sedih kerana demi cinta ada yang sanggup mengeluarkan simpanan seumur hidup dan ada yang bergolok-gadai menjual harta," katanya.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ayat manis modal 'Oppa' tundukkan golongan kesunyian

Sindiket penipuan love scam mengkaji tabiat wanita Malaysia yang gemar menonton drama Korea untuk memperdayakan mereka dengan menyamar sebagai 'Oppa'.

Taktik baharu itu dipercayai digunakan sindiket penipuan bagi menjerat mangsa yang mudah terpikat apabila melihat jejaka kacak di laman sosial seperti Facebook dan TikTok.

Penganalisis jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kelemahan kebanyakan mangsa yang mudah terperdaya dengan paras rupa dan kewangan antara faktor menyebabkan sindiket itu masih wujud serta terus berleluasa.

"Mereka ini (sindiket) sentiasa mencari ruang dan peluang. Suspek juga buat penyelidikan apa wanita minat dan suka untuk digunakan bagi menjerat mangsa.

"Suspek akan menjanjikan apa saja, 'bulan dan bintang' untuk meyakinkan mangsa.

"Tawaran dan kata-kata manis dijanjikan suspek juga mudah menundukkan wanita terutama mereka yang berusia dan kesunyian," katanya.

SHAHUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
SHAHUL Hamid. FOTO Arkib NSTP

Shahul berkata, faktor lain adalah kelemahan diri masing-masing apabila mudah terpedaya dengan pujuk rayu atau gertakan suspek.

Katanya, sikap suka menunjukkan kemewahan dan mendedahkan maklumat peribadi di laman sosial juga menjadi faktor sindiket mencari peluang untuk berhubung seterusnya memperdayakan mangsa.

Justeru, beliau berkata, jalan penyelesaian terbaik adalah mangsa sendiri jangan melayani individu tidak dikenali dalam laman sosial.

"Jika terdapat individu meragukan lebih-lebih lagi warga asing di alam maya, jangan layan kerana itu mengundang kepada menjadi mangsa penipuan," katanya.

Beliau juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia supaya sentiasa memantau kegiatan sindiket di laman sosial bagi mengelak kes penipuan secara dalam talian terus berleluasa.

Wanita aktif media sosial sasaran utama

Wanita yang terlalu aktif di media sosial, menagih perhatian, kesunyian, rendah kepercayaan kendiri, mudah rasa tertekan dan mengimpikan perhubungan sempurna adalah golongan yang kerap menjadi mangsa penipuan cinta atau love scam.

Golongan terbabit menjadi sasaran sindiket kerana mereka mudah didekati dan tertarik dengan profil jejaka tampan.

Sindiket bukan saja menggunakan profil lelaki dari Eropah atau Timur Tengah, sebaliknya kini turut menjadikan lelaki Korea yang digelar 'Oppa' sebagai umpan untuk menjerat mangsa.

Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, wanita yang terlalu aktif melayari laman sosial akan mudah menerima permintaan untuk berkenalan.

Beliau berkata, golongan seperti itu takut kehilangan sesuatu perkembangan semasa di media sosial dan ia sebenarnya cenderung kepada sindrom Fomo (Fear of Missing Out).

DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, Fomo adalah gangguan mental yang menyebabkan seseorang mengalami rasa cemas, was-was dan khuatir apabila mendapati individu lain lebih baik daripada mereka sehingga menyebabkan rasa takut kehilangan sesuatu.

"Ketakutan ini merujuk kepada perasaan dan persepsi yang orang lain menikmati kehidupan lebih baik berbanding dirinya.

"Ini membuatkan rasa cemburu dan iri hati dengan persekitaran sehingga menjejaskan kepercayaan diri serta merasakan ketakutan kehilangan sesuatu," katanya.

Selain itu, beliau berkata, golongan wanita yang kesunyian sama ada baru kehilangan seseorang, tiada teman hidup dan berhasrat mencari pasangan akan mudah menjadi mangsa love scam.

Beliau yang juga Presiden Bakal Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) berkata, golongan terbabit banyak menghabiskan masa melayari media sosial untuk mengisi kekosongan dan seterusnya mencari kenalan baharu bagi menghilangkan kesunyian.

Katanya, kebanyakan mangsa 'love scam' adalah wanita kerana sifat unik dimiliki golongan itu.

"Fitrah wanita apabila sampai usia 20-an sehingga 40 tahun berkeinginan untuk menjalinkan perhubungan dan kebiasaannya akan berpaksikan pengaruh emosi yang mahu rasa dicintai, disayangi yang akan mendorong mereka berasa gembira serta bahagia dengan harapan perhubungan yang terjalin bakal berakhir ke jinjang pelamin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 12:00 PM