Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ali Iqbal


Muar: Pesara wanita kerugian RM89,300 akibat terpedaya dengan penipuan kiriman bungkusan tidak wujud atau Parcel Scam selepas tunjukkan surat notis kehadiran ditandatangani individu yang menyamar polis.

Mangsa berusia 68 tahun sebelum itu menerima panggilan daripada seseorang memaklumkan terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi kad pengenalan dan kad kredit daripada Pos Laju.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, panggilan itu kemudiannya disambung kepada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Katanya lagi, 'polis' terbabit menjelaskan mangsa didakwa terbabit dalam kes penyeludupan dadah dan 'menggelapkan' wang.

"Tanpa membuat usul periksa, mangsa terus mempercayainya ditambah pula dengan taktik suspek menunjukkan surat notis terbabit.

"Berikutan itu, mangsa segera melakukan empat transaksi memindahkan wang secara berperingkat.

"Mangsa menyedari ditipu lalu membuat laporan polis semalam. Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Raiz Mukhliz berkata, ini adalah kes ketiga dalam tempoh kurang sebulan termasuk dua kes membabitkan lelaki yang kerugian RM7,500 selepas berkongsi OTP dengan individu tidak dikenali.

"Sebelum itu, terdapat juga kes membabitkan seorang yang menanggung kerugian RM8,820 kerana terpedaya dengan Love Scam.

"Justeru, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tindakan licik sindiket seperti kes ini dan jangan terlalu mudah mendedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 11:58 AM