Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Kerajaan akan mengumumkan bantuan khas kepada waris 10 anggota dan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan dari aspek kebajikan itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

"Sudah pasti ada (mangsa) yang mencarum dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ada juga yang sudah ada pencen dan sebahagiannya ada insuran.

"Di samping itu, Perdana Menteri akan umumkan apa juga bantuan dan sokongan daripada kerajaan kepada keluarga mangsa ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di pekan Lumut, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau membuat tinjauan ke lokasi nahas dan menziarahi waris mangsa di Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Pangkalan TLDM.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, semua waris sudah berada di HAT, manakala keluarga mangsa yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah akan dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh bagi proses pengecaman mayat serta bedah siasat.

"Sudah pasti apabila berlaku (tragedi), bukan sahaja waris, kita sendiri akan dapat merasai kesedihan yang mereka rasai. Apatah lagi majoriti mereka mempunyai keluarga dan anak yang masih kecil.

"Bayangkan anak yang berumur tiga tahun tidak tahu apa-apa, kehilangan sama ada ibu atau bapa.

"Oleh itu, saya minta semua pihak menghormati waris mangsa dengan tidak memaparkan apa-apa (sebarang gambar, kenyataan dan video) yang boleh menyentuh sensitiviti mangsa berhubung kait dengan kejadian ini," katanya.

FADILLAH pada sidang media berhubung insiden helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. FOTO Bernama
FADILLAH pada sidang media berhubung insiden helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. FOTO Bernama

TLDM sebelum ini dilaporkan akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Mereka yang terkorban dari Pesawat HOM (M503-3) dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza binti Anuar (Penumpang) dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna.

Manakala dari Pesawat Fennec (M502-6) dikenal pasti Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Berita berkaitan

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:22 PM