FADILLAH pada sidang media berhubung insiden helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. FOTO Bernama
FADILLAH pada sidang media berhubung insiden helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Semua pihak diingatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, semua pihak juga dipohon supaya menghormati waris mangsa dengan tidak menyebarkan gambar atau video mengenai kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

"Saya meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai nahas berkenaan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan," katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan mewakili pihak kerajaan meninjau ke lokasi kejadian nahas berkenaan, selain sempat bertemu ahli keluarga mangsa yang berada di hospital.

"Saya diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk segera ke lokasi kejadian berjumpa kepimpinan tertinggi TLDM dan keluarga mangsa serta menziarahi jenazah 10 mangsa.

"Bagi pihak Perdana Menteri dan Kerajaan Madani, saya menyampaikan ucapan takziah kepada TLDM dan ahli keluarga mangsa yang berada di hospital.

"Saya secara peribadi juga amat sedih dan dukacita dengan nahas yang berlaku dan berharap kesemua keluarga mangsa bersabar serta diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini," katanya.

Dalam kejadian 9.30 pagi tadi, nahas berlaku apabila dua helikopter milik TLDM itu terhempas sewaktu melakukan latihan udara sempena Sambutan Hari Ulang tahun TLDM ke-90 yang bakal diadakan bermula 25 April hingga 5 Mei ini.

Dua helikopter itu dikatakan berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi dan berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit dilihat hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, sementara pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

• Berita Berkaitan

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 6:57 PM