Muhammad Yusri Muzamir

Kuala Lumpur: Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-90 yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan dan digantikan dengan majlis tahlil serta doa selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pembatalan sambutan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Kehormat TLDM.

"(Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90) dibatalkan dan digantikan dengan tahlil dan doa selamat.

"(Keputusan) ini dibuat atas perkenan Sultan Selangor. Difahamkan, baginda pun akan mencemar duli bagi majlis berkenaan," katanya pada sidang media di Lumut, Perak hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, dua helikopter TLDM bertembung ketika raptai lintas hormat sempena Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada jam 9.03 pagi tadi.

Nahas itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.

Pesawat HOM-AW139 terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Mohamed Khalid berkata, pengurusan jenazah nahas itu akan dibuat mengikut perancangan keluarga masing-masing, dibantu Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM.

Beliau berkata, kementerian juga akan membantu membawa pulang jenazah yang berasal dari Sabah, selepas semua urusan berkaitan selesai.

"Keseluruhan jenazah nahas ini akan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh di Perak bagi urusan bedah siasat.

"Setakat ini, keluarga mangsa yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah sudah dibawa ke sini dan mereka akan terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Kementerian, ATM dan TLDM juga akan menyalurkan manfaat dan faedah sewajarnya kepada balu dan waris mangsa, selain berterima kasih kepada semua pihak, terutama pegawai dan kakitangan Hospital Lumut serta pegawai pemerintah dan kakitangan," katanya.

SITUASI di hadapan pintu masuk utama Pangkalan TLDM,  Lumut, hari ini. FOTO Bernama
SITUASI di hadapan pintu masuk utama Pangkalan TLDM, Lumut, hari ini. FOTO Bernama

Berita Berkaitan

TLDM dedah 10 nama mangsa nahas helikopter

'Abang hubungi ibu, ayah sebelum kejadian berlaku'

'Selepas ini mereka mungkin balik awal selalu' - Skuadron 503

Rakan menangis, sedih terima berita nahas helikopter

Anggota TLDM terbabit nahas helikopter beri bayangan Aidilfitri terakhir

Salah seorang mangsa suami sepupu Eyra Hazali

Bedah siasat di HRPB

Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur diaktifkan

TERKINI: Semua mangsa helikopter TLDM terhempas dibawa keluar

Helikopter TLDM terlibat dalam tiga kali raptai sebelum terhempas

Agong zahir takziah

Kementerian Pertahanan pertimbang semula penganjuran Sambutan Ulang Tahun TLDM

TLDM tubuh Lembaga Siasatan

Mangsa nahas helikopter TLDM dikenal pasti

2 helikopter dinaiki 10 kru

10 dilaporkan terkorban

Dua helikopter terhempas selepas berlanggar di udara

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 5:25 PM