GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: Larkin di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 106, setakat 5 petang hari ini.

Berdasarkan data yang dikongsi dalam laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

APIMS menurut data sama memaklumkan, kebanyakan kawasan di Semenanjung merekodkan bacaan IPU tahap sederhana termasuk Alor Setar di Kedah (66); Tanah Merah, Kelantan (73); Kuala Terengganu di Terengganu (64); Balok Baru Kuantan, Pahang (67); Banting, Selangor (83); Batu Pahat, Johor ( 74); dan Nilai, Negeri Sembilan (61).

"Kebanyakan kawasan di Sarawak mencatatkan IPU sihat dan hanya satu daerah yang merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Samalaju yang merekodkan bacaan 58.

"Di Sabah, ada tiga kawasan yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana iaitu Politeknik Kota Kinabalu (58), Sandakan (53); dan Tawau (58)," katanya menurut data yang dikongsi itu.

Susulan itu, orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui tahap IPU terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 5:47 PM