TAMBAK Johor. FOTO Omar Ahmad.
TAMBAK Johor. FOTO Omar Ahmad.
Ercy Gracella Ajos


Kuala Lumpur: Stesen udara di Larkin, Pasir Gudang dan Batu Pahat di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat pagi ini.

Berdasarkan kemas kini laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat 9 pagi, stesen Larkin merekodkan bacaan IPU 156, diikuti Pasir Gudang (152) dan Batu Pahat (122).

Sementara itu, 54 stesen di seluruh negara merekodkan IPU tahap sederhana.

Antara kawasan yang berada di tahap ini adalah Banting di Selangor dengan bacaan 90, Seremban, Negeri Sembilan (87), Alor Gajah, Melaka (85), Tanjung Malim di Perak (60), Kemaman, Terengganu (74), Alor Setar, Kedah (53), Sri Aman, Sarawak (67), Tawau, Sabah (66).

Data sama turut menunjukkan sebanyak 11 kawasan seluruh negara merekodkan tahap IPU yang baik, antaranya Taiping di Perak dengan bacaan 44, Kangar, Perlis (49), Sungai Petani, Kedah (37) dan Kota Kinabalu, Sabah (45).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk laman web APIMS untuk mengetahui tahap IPU terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 10:09 AM