Letusan Gunung Berapi Ruang. FOTO AFP
Letusan Gunung Berapi Ruang. FOTO AFP
Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: Letusan Gunung Berapi Ruang di Sulawesi pada Selasa lalu tidak menjejaskan kualiti udara di Sabah dan Sarawak.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, asap debu letusan tidak memberi kesan ketara kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) stesen pengawasan kualiti udara di kedua negeri terbabit.

"Tiada peningkatan bacaan pencemar pepejal terampai (PM2.5 dan PM10), sulfur dioksida (SO2), nitrogen dioksida (NO2), ozon (O3) dan karbon monoksida (CO) yang direkodkan.

"IPU yang direkodkan di web JAS pada 10 malam tadi menunjukkan 21 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 47 kawasan mencatatkan status kualiti udara sederhana.

"Tiada stesen yang mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff berkata, JAS akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

"Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web JAS di alamat, http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU di 'Google Play'," katanya.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan BH di laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 2 petang hari ini, kebanyakan kawasan di Semenanjung mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala rata-rata kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan bacaan IPU tahap baik.

Antaranya kawasan di Semenanjung yang merekodkan bacaan tahap sederhana termasuk Banting di Selangor (88), Bukit Rambai di Melaka (71), Balok Baru, Pahang (70), Kluang, Johor (60), Alor Setar, Kedah (65) dan Tanah Merah, Kelantan (71).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 2:29 PM