GAMBAR hiasan. Sri Aman. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Sri Aman. FOTO arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KAWASAN Sri Aman, Sarawak dan Rompin, Pahang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori sangat tidak sihat setakat 11pagi, hari ini.

Berdasarkan data di laman Web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Sri Aman merekodkan bacaan IPU semakin buruk iaitu 259 berbanding 248 pada 7 pagi tadi.

Rompin turut mencatatkan bacaan IPU kategori yang sama (sangat tidak sihat) iaitu 225 berbanding 222, empat jam sebelumnya.

Namun, bacaan IPU di kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak pula merekodkan bacaan IPU yang bertambah baik tetapi masih dalam kategori tidak sihat iaitu 160 berbanding 213 (sangat tidak sihat), 11 malam tadi.

Hanya lima kawasan iaitu Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu, Kimanis (Sabah) dan Limbang, Sarawak mencatatkan bacaan IPU kategori baik antara 33 hingga 48.

Selain itu, bacaan IPU di 60 kawasan lain di seluruh negara adalah pada tahap kategori sederhana.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh melayari http://apims. doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 12:51 PM