Rizanizam Abdul Hamid


DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini secara rasminya diumumkan sebagai Presiden PKR sesi 2018- 2021 selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan parti di Pusat Konvensyen Ideal (iDCC) Shah Alam.

Jawatan Timbalan Presiden pula kekal milik Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menewaskan pesaingnya bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli.

Kemenangan Mohamed Azmin sekali gus menamatkan persaingan sengit bagi merebut jawatan itu, membolehkan beliau buat pertama kalinya bergandingan dengan mentornya, Anwar.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Datuk Rashid Din pada hari terakhir Kongres Nasional PKR Ke-13 hari ini.

Bagi kerusi Naib Presiden, tiga daripada empat kerusi kekal milik penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Satu lagi kerusi dimenangi bekas Ketua Wanita yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin menewaskan lapan calon lain daripada keseluruhan 12 yang bertanding jawatan itu.

Pemilihan PKR 2018 berlangsung sejak 22 September dan berakhir 10 November lalu membabitkan 195, 410 ahli di seluruh negara.

Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohd Talha dipilih sebagai Ketua Wanita PKR bagi penggal 2018-2021.

Haniza yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, menewaskan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dipilih sebagai Ketua AMK baharu.

Beliau menewaskan bekas Timbalan AMK, Dr Afif Bahardin, yang turut bertanding jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 3:49 PM
Anwar (tiga kanan) mengucapkan tahniah kepada Mohamed Azmin selepas sama-sama diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PKR. FOTO Luqman Hakim Zubir

Anwar (tiga kanan) mengucapkan tahniah kepada Mohamed Azmin selepas sama-sama diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden PKR. FOTO Luqman Hakim Zubir